Ahad, 15 November 2009

Pelajar Pekak Terima Anugerah Canselor Universiti Terbuka Malaysia



KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Ternyata pekak bukan penghalang kejayaan bagi Teh Cheang Hock yang hari ini menerima Anugerah Canselor sebagai pelajar terbaik pada konvokesyen ketujuh Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Menurut pelajar ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat berumur 42 tahun itu yang kini berkhidmat sebagai pembantu tadbir di Pulau Pinang, walaupun dilahirkan sebagai individu pekak, namun bagi dirinya itu bukan alasan untuk merendah diri dan menguburkan impian untuk berjaya seperti insan normal lain.

"Saya mempunyai cara pembelajaran saya tersendiri untuk mengikuti kelas yang dihadiri. Memandangkan saya tidak boleh mendengar apa yang diajar pensyarah, saya mengharapkan nota penting yang disalin rakan-rakan untuk mengulang kaji pelajaran," katanya dalam teks temu bualnya dengan OUM yang diedarkan oleh universiti itu kepada media pada majlis itu di sini.

Sementara itu, Chan Oy Leng, 30, yang juga pelajar ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat menerima Anugerah Commonwealth Educational Media Centre for Asia (CEMCA).

Lebih 6,000 graduan menerima ijazah sarjana, sarjana muda dan diploma daripada Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah, pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hock berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain membaca dan terus membaca, serta menjadikan matanya sebagai telinga untuk memahami setiap yang diajarkan pensyarah.

"Secara jujurnya saya tidak mempunyai sebarang formula untuk berjaya. Hanya ketekunan, disiplin diri dan semangat untuk berjaya menjadi resipi kejayaan saya," katanya.

Hock turut menasihati individu yang senasib sepertinya agar bersedia berkorban masa rehat dan masa lapang mereka serta bersedia untuk mengharungi cabaran besar untuk meraih kejayaan.

Pada majlis itu, Jeanne turut menganugerahkan ijazah kehormat kedoktoran pendidikan kepada Sir John Daniel, warga British dan Kanada, yang merupakan seorang daripada empat penerima anugerah kehormat itu.

Beliau dianugerahkan gelaran "Sir" oleh Ratu Elizabeth pada tahun 1994 atas sumbangannya menjadi peneraju dalam pembangunan pembelajaran jarak jauh di peringkat antarabangsa.

Sumber: BERNAMA English/Malay, UTUSAN MALAYSIA ONLINE, BERNAMA FOTOWEB, NST ONLINE, BERITA HARIAN ONLINE

###################

Penulis telah menghantar mesej berSMS mengatakan "Tahniah yang sy ucapkan kat anda berjaya dpt Bachelor IT" kepada Legend SOPMA Thomas Teh Cheang Hock semalam.