Jumaat, 19 September 2008
Kontinjen Paralimpik Negara Selamat Pulang Ke Tanahair
SEPANG, 18 Sep (Bernama) -- Kontinjen atlet Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia malam ini selamat pulang ke tanah air selepas bersaing pada temasya Sukan Paralimpik ke-13 di Beijing, China dari 6 hingga 17 Sept.
Atlet Powerlifting Malaysia, Siow Lee Chan muncul pemenang pingat tunggal kontinjen negara selepas meraih pingat gangsa dalam acara bawah 56kg wanita dengan jumlah angkatan seberat 95kg, yang juga rekod baru kebangsaan dan Sukan Para Asean.
Kemenangan Lee Chan menamatkan kemarau sejak 16 tahun lepas itu membolehkan beliau meraih wang tunai sebanyak RM100,000 Skim Hadiah Kecemerlangan Sukan (Shakam) bagi kategori atlet OKU.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini untuk menyambut kepulangan 'wira negara' itu.
Jeanne, yang merupakan penaung kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), turut berada di Beijing selama beberapa hari bagi membakar semangat atlet paralimpik negara mencari pingat buat Malaysia.
"Selamat kembali ke tanah air dan tahniah kerana walaupun waktu latihan yang singkat iaitu hanya enam bulan sebelum temasya Paralimpik bermula, anda berjaya menunjukkan daya saing yang tinggi dan membawa pulang satu pingat gangsa selepas 16 tahun kemarau," katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di KLIA yang tiba pada pukul 11 malam ini.
Turut berada di KLIA ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong.
Daripada 20 jenis sukan yang dipertandingkan di temasya itu, kontinjen Malaysia hanya menyertai lima jenis sukan iaitu memanah, olahraga, powerlifting, renang dan perahu layar, melibatkan 11 atlet.
-- BERNAMA
Labels:
Paralimpik