Memaparkan catatan dengan label Warga Tak Mampu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Warga Tak Mampu. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2009

Keluarga lelaki pekak, lumpuh rayu bantuan

Abdul Razak Ahmad yang dijaga ibunya, Che Intan Abdul Gani (kanan) hanya mengharapkan simpati daripada orang ramai bagi perbelanjaan harian. - UTUSAN/ismail kamadin

ALOR SETAR 7 Okt. - Seorang wanita dari Kampung Ulu, Kuala Kedah di sini merayu simpati orang ramai untuk membantu keluarganya menampung kos perbelanjaan mengurus penjagaan adiknya yang terlantar sakit sejak tiga bulan lalu.

Zabariah Ahmad, 47, berkata, keluarganya memerlukan kira-kira RM500 sebulan bagi membeli keperluan penjagaan adiknya itu, Abdul Razak Ahmad, 37, terutama bagi menguruskan perbelanjaan membeli roti, susu dan lampin pakai buang.

Abdul Razak yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana pekak, hampir lumpuh anggota badan selepas terjatuh ketika bekerja di Sungai Petani, dekat sini pada 8 Jun lalu.

Sejak itu, mangsa yang masih bujang terlantar di atas katil dengan memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak.

Menurut Zabariah, adiknya itu yang berkerja sebagai pengimpal besi sebelum ini menjadi sandaran untuk menyara ibu mereka, Che Intan Abd. Ghani, 65, yang tinggal bersama dua lagi ahli keluarganya di kampung berkenaan.

Kedua-dua ahli keluarga mereka itu yang masing-masing berusia 48 tahun dan 28 tahun juga pekak dan hanya berupaya berkerja sebagai nelayan dengan pendapatan yang tidak menentu.

Katanya, keadaan yang menimpa Abdul Razak memeritkan ahli keluarga mereka memandangkan kos untuk menampung perbelanjaan mengurus penjagaannya selain keperluan harian meningkat mendadak.

"Kami adik beradik yang lain hanya mampu membantu sekadar yang termampu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zabariah yang telah berkeluarga dan menetap di Taman wira Mergong, di sini memberitahu, mereka buntu untuk mencari sumber kewangan yang mencukupi bagi menguruskan penjagaan Abdul Razak.

Sementara itu, wakil Persatuan Orang Pekak Malaysia, Suriati Mohd. Syukur yang melawat keluarga Abdul Razak berharap mana-mana pihak yang bersimpati agar sedia menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Katanya, keprihatinan orang ramai mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Abdul Razak.

Mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga tersebut boleh berkunjung ke rumah mereka di alamat 115 Lorong 8, Kampung Ulu, Kuala Kedah.

Orang ramai juga boleh menghubung talian 017-5944606 atau 04-7312934 atau menghulurkan sumbangan wang tunai menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0210029000339571.

Sumber: Utusan Malaysia Online 8 Oktober 2009

*************************************************
Penulis baru-baru ini difahamkan oleh kawan baik penulis dari Sg Buloh di apartment terbuka kawan lama baik penulis, Bukit Beruntung Sabtu lalu.

Khamis, 26 Februari 2009

Program JKSM Untuk Semua Rakyat Miskin - PM

TELUK INTAN, 25 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa program Jaringan Keselamatan Sosial (JKSM) akan memberikan perlindungan kepada rakyat miskin di negara ini tanpa mengira kaum dan anutan agama mereka.

Sehubungan itu beliau meminta kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mengenal pasti dan melakukan pemilihan dengan teliti golongan miskin dan miskin tegar yang wajar diberikan bantuan tersebut.

"Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita insya-Allah akan dapat membantu golongan tersebut di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini adalah program yang menunjukkan betapa prihatinnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap golongan miskin di seluruh negara kita," katanya berucap melancarkan Kad JKSM-Bantuan Kebajikan Persekutuan di Arena Square di sini, Rabu.

Abdullah berkata membasmi kemiskinan merupakan satu dasar yang telah menjadi perjuangan kerajaan BN bagi mengelakkan timbulnya pelbagai masalah terhadap golongan miskin dan miskin tegar di negara ini.

"Bagi yang beragama Islam, kita tidak mahu ada kemiskinan kerana sepertimana sabda Nabi (Muhammad s.w.a), kemiskinan itu boleh membawa kepada kekufuran.

"Kita tidak mahu wujudnya golongan miskin dan miskin tegar. Golongan miskin secara berbanding memang akan wujud dan kita juga mahu peratusnya itu biarlah menjadi peratus yang kurang daripada yang ada," katanya.

Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata pendapatan isi rumah bukanlah syarat mutlak bagi melayakkan seseorang atau sesebuah keluarga mendapat bantuan kebajikan.

Beliau berkata syarat-syarat lain seperti warganegara Malaysia, bilangan tanggungan, tahap kesihatan, umur, kecacatan, keadaan rumah dan sebagainya juga diambil kira sebagai kriteria kelayakan menerima bantuan.

"Justeru, setiap kes yang dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak secara automatik akan diluluskan bantuan kebajikan. Sekiranya mereka difikirkan layak menerima bantuan di bawah skim bantuan agensi kerajaan yang lain seperti perumahan, latihan kemahiran dan sebagainya, maka mereka akan dirujuk kepada agensi yang berkenaan," katanya.

NG berkata menyedari bahawa masih ramai golongan miskin yang tercicir daripada menerima bantuan, kementeriannya telah memohon kepada Perdana Menteri supaya program jaringan keselamatan sosial di bawah kementeriannya diperluaskan lagi.

Beliau berkata berikutan persetujuan yang diberikan oleh Perdana Menteri, tahap kelayakan pendapatan bagi penerima bantuan telah ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan di Semenanjung Malaysia, RM830 sebulan di Sarawak dan RM960 sebulan di Sabah.

"Susulan perkembangan ini, peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diluluskan untuk tahun 2009," katanya.

Beliau berkata dengan perluasan jaringan keselamatan sosial itu adalah dijangkakan 110,000 isi rumah layak dipertimbangkan bantuan berbanding 54,000 isi rumah sedia ada.

Mengenai Kad JKSM yang dilancarkan hari ini, NG berkata ia merupakan satu kad elektronik yang berfungsi sebagai kad identiti penerima bantuan persekutuan di bawah JKM bagi menggantikan kad kertas sebelum ini yang berbeza formatnya antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Beliau berkata penyeragaman kad penerima bantuan itu di seluruh negara bertujuan memudahkan urusan pentadbiran penyaluran bantuan kebajikan JKM.

"Adalah menjadi wawasan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa hadapan agar fungsi kad elektronik ini dapat diperluaskan bagi membolehkan pemegang kad mendapatkan perkhidmatan lain seperti diskaun pengangkutan awam, diskaun dari pasaraya tertentu dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA

Jaringan Keselamatan Sosial Untuk Rakyat Miskin

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik, berikutan daripada kenaikan kos sara hidup, memang telah sedia maklum oleh semua pihak.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak sama ada swasta, NGO dan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban golongan berkenaan dalam menghadapi situasi ini.

Malahan usaha mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup bagi golongan tersebut termasuk mangsa bencana dibuat menerusi Jaringan Keselamatan Sosial (JKS), yang telah diperbesar di bawah Bajet 2009.

APA ITU JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

Masih ramai di kalangan kita kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ketika ditemubual dalam wawancara oleh Radio24 Bernama berkata, program Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan menentukan segenap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status ekonomi menjalani kehidupan yang selesa dan mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, peruntukan bagi program itu tahun ini juga ditambah RM500 juta lagi menjadikan jumlah besarnya RM800 juta berbanding hanya RM300 juta bagi tahun 2007 dan tahun lepas.

Beliau berkata penambahan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 110,000 keluarga miskin di seluruh negara.

"Misalnya, bagi warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan tiada yang menjaga, boleh mendaftar terus dengan kementerian saya bagi membolehkan mereka mendapat bantuan sara hidup RM300 sebulan.

"Bagi kanak-kanak daripada keluarga miskin pula, mereka akan diberikan bantuan RM100 sebulan dan tidak melebihi RM400 sekeluarga", katanya sambil menambah bahawa bantuan yang diberikan itu merupakan bantuan sara hidup asas.

Dengan adanya program itu nanti, tidak ada lagi sebab mengapa kanak-kanak daripada keluarga miskin dinafikan hak mereka untuk bersekolah atau orang miskin yang sakit terbiar tanpa mendapat rawatan.

PENGLIBATAN PELBAGAI KEMENTERIAN

Dalam ucapan Bajet 2009 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan dengan memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan bersedia bertindak untuk meringankan beban setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik menerusi JKS.

Ia meliputi perkhidmatan seperti kebajikan, perubatan, faedah pengangguran, pusat perlindungan dan kadang kala subsidi dalam membantu golongan berkenaan menghadapi cabaran inflasi.

Dari segi ekonomi ia bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan masyarakat yang memerlukan serta membantu mengatasi kemiskinan untuk jangka pendek di samping memastikan rakyat sama-sama menikmati kemakmuran, hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara.

Dr Ng pula berkata program itu dilaksanakan menerusi penglibatan secara langsung oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

KELUARGA DAN MASYARAKAT

Untuk meluaskan Jaringan Keselamatan Sosial bagi kumpulan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM400 sebulan kepada tahap Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa, iaitu RM720 sebulan bagi Semenanjung, RM830 sebulan bagi Sarawak dan RM960 sebulan bagi Sabah.

"Ini bermakna bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000", kata Abdullah semasa membentangkan Bajet 2009.

Beliau berkata, ini termasuk kenaikan bilangan warga emas yang layak daripada 14,000 kepada 40,000 dan untuk tujuan ini, perbelanjaan tambahan sebanyak RM500 juta diperuntukkan.

Kerajaan, katanya, menyediakan tabung bantuan khas sebanyak RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut, seperti akibat kemalangan dan bencana.

Abdullah, bekas Menteri Kewangan berkata memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, rumah yang menempatkan kanak-kanak kurang bernasib baik, kerajaan akan menaikkan elaun mereka daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan berkuatkuasa 1 Sept tahun ini.

Kerajaan dengan kerjasama sektor korporat telah mewujudkan beberapa rumah di bawah konsep Tunas Harapan untuk menyediakan kanak-kanak ini kemudahan penjagaan dalam suasana kekeluargaan.

Di bawah usaha ini, sektor korporat menyediakan rumah manakala kerajaan membayar kos mengurus.

Dalam hubungan ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak Rumah Tunas Harapan.

PENDIDIKAN

Memetik laman web Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan turut memberi insentif dan bantuan untuk bidang pendidikan dengan memperuntukkan sejumlah RM47.7 bilion bagi sektor pendidikan negara.

Daripada jumlah tersebut, kementerian memperuntukkan sebanyak RM31.4 juta bagi tahun 2009 untuk pembangunan insaniah dan keperluan sekolah para pelajar.

Ia meliputi penambahan peruntukan bagi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) iaitu dari RM300 juta kepada RM400 juta.

Elaun Guru Pendidikan Khas turut ditambah daripada RM100 kepada RM250. Kerajaan turut menambah elaun bantuan khas daripada RM50 kepada RM150.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan Bantuan Modal Projek Pembangunan Pembinaan Sekolah daripada RM20 juta kepada RM33 juta.

Apa yang dapat dilihat sekarang adalah kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh pelajar, cendekiawan berkualiti meningkatkan jumlah golongan profesional untuk berbakti kepada negara, agama dan bangsa, kebajikan pendidikan pelajar terbela dengan bajet prihatin kerajaan, banyak bantuan dan subsidi yang diberi kerajaan.

Semuanya adalah hasil daripada komitmen tinggi dan usaha mencipta kegemilangan negara.

PERTANIAN

Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan.

Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.

Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.

KERJASAMA UNTUK CAPAI MATLAMAT

Menurut Dr Ng, kerjasama bersepadu semua rakan bestari seperti agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO amat penting dalam memastikan usaha melaksanakan Jaringan Keselamatan Sosial dapat mencapai hasrat kerajaan ke arah pembangunan mapan dan kesejahteraan sosial.

Adalah diharapkan pelaksanaan Jaringan Keselamatan Sosial yang berkesan menerusi Bajet Prihatin 2009 dapat meningkatkan penyertaan wanita, keluarga dan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang dan menikmati faedah pembangunan negara, katanya.

-- BERNAMA