Isnin, 26 April 2010

Perniagaan OKU dialibaba

SAYA insan yang kurang upaya dan sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang. Pada awal 2008, dengan bantuan seorang yang berpengaruh, saya memohon bantuan di bawah skim bantuan galakan perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) di bawah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

Permohonan saya diluluskan pada 11 Ogos 2008. Nilai bantuan RM100,000 dalam bentuk barangan. Bagaimanapun, saya hanya dapat menguruskan perniagaan saya kira-kira setahun lebih saja.

Tanpa pengetahuan saya, daftar perniagaan saya dipindah tanpa persetujuan saya. Saya rasa amat terkilan dengan nasib yang menimpa. Tambahan saya tidak mampu untuk bekerja bagi menampung keluarga saya. Saya cuba mencari puncanya dan akhirnya saya dapat tahu yang perniagaan saya itu sudah ‘dialibabakan’ oleh orang yang menguruskan permohonan saya yang juga mempunyai tiga perniagaan yang sama dengan perniagaan saya.

Saya ada cukup bukti kerana ia membabitkan orang atasan. Di sini saya berharap agar jabatan yang terbabit dengan bantuan ini dapat bertindak segera, kerana ia membabitkan peruntukan yang besar untuk orang kurang upaya, supaya OKU tidak diperlekehkan pada masa akan datang.

Saya ingin tahu, apakah tindakan yang boleh diambil terhadap orang yang ‘meng-alibabakan’ OKU.

OKUCCB8981, Kuantan
.

Sumber: Berita Harian Online - Surat 26 April 2010

Sabtu, 24 April 2010

Budak Melayu bermata biru adalah anak ibubapa Pekak Kedah

AHMAD Mustafa bersama cucunya, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal yang dilahirkan aneh dengan matanya berwarna kebiruan walaupun tiada darah kacukan di Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, kelmarin. - utusan/ OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 23 April - Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini menjadi tumpuan penduduk sejak beberapa hari lalu gara-gara seorang kanak-kanak lelaki Melayu bermata biru.

Kanak-kanak tersebut, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal, berusia 1 tahun 4 bulan menjadi tumpuan ramai kerana warna matanya berbeza dengan kebanyakan masyarakat negara ini yang rata-rata hitam atau perang.

Datuk kepada Mohd. Aizat Aiman, Ahmad Mustafa, 62, memberitahu, kejadian pelik itu berlaku selepas beberapa bulan cucunya dilahirkan.

"Semasa dilahirkan, matanya berwarna hitam macam kebanyakan kita. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

"Kami sekeluarga hairan kerana tidak mempunyai darah kacukan orang barat ataupun Asia Barat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad berkata, keluarganya pernah membawa Mohd. Aizat Aiman menjalani pemeriksaan di beberapa hospital di Sungai Petani dan Pulau Pinang.

Namun, katanya, doktor mengesahkan mata Mohd. Aizat Aiman itu tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Ditanya tentang kejadian aneh sebelum Mohd. Aizat Aiman dilahirkan, Ahmad berkata, semasa mengandung, ibu kanak-kanak itu, Noraini Ahmad, 31, dikatakan gemar bermain dengan seekor kucing peliharaan mereka yang bermata biru.

"Noraini suka membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruan. Orang tua-tua kata, mungkin kejadian mata biru Mohd. Aizat Aiman ada kaitan dengan kenan kucing," ujarnya.

Bekas nelayan itu berkata, Mohd. Aizat Aiman itu juga mungkin mewarisi ciri-ciri bapanya, Mohd. Rizal Mohamad, 34, yang mata kanannya sedikit kebiruan tetapi tidak ketara.

"Noraini dan Mohd. Rizal merupakan insan istimewa kerana mereka berdua bisu dan mempunyai masalah pendengaran. Mereka bekerja sebagai operator kilang di Seberang Perai dan hanya pulang ke kampung dua minggu sekali," katanya.

Tambahnya, dia bagaimanapun berasa bimbang dengan masa depan Mohd. Aizat Aiman yang mungkin mewarisi kecacatan ibu bapanya yang tidak boleh mendengar.

"Doktor memaklumkan bahawa cucu saya ini disyaki mengalami masalah pendengaran dan perlu menjalani pemeriksaan dua bulan sekali di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya.

Ahmad bagaimanapun berharap, cucunya itu dapat menjalani kehidupan seperti insan normal.

"Dia seorang yang aktif dan sering menarik perhatian ramai kerana ciri anehnya yang bermata biru. Kini, dia juga mula petah bersuara walaupun setakat ini tidak dapat pastikan sama ada dia boleh bercakap atau tidak dalam beberapa tahun lagi. Kami doakan agar dia mempunyai sifat sempurna seperti orang lain," katanya.

Sumber: Utusan Online 24 April 2010 / 10 Jamadil Awal 1431

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Bapa anak budak melayu bermata biru yg penulis kenal. Dia punya FB di http://www.facebook.com/profile.php?id=695698658&ref=mf