Jumaat, 31 Oktober 2008

Seramai 83 Orang Jurubahasa Isyarat Akan Dilantik

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan melantik 83 tenaga mahir sebagai jurubahasa isyarat untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan kemahiran OKU dalam berkomunikasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri T. Murugiah berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan diberi tanggungjawab untuk melantik mereka yang berkelayakan sebagai tenaga pengajar bahasa isyarat.

"Saya lihat golongan OKU dari segi kelancaran bahasa dan idea amat mengagumkan dan mereka patut diberi peluang oleh masyarakat di luar sana supaya mereka tidak ketinggalan," katanya kepada pemberita selepas melawat Bangunan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di sini, Rabu.

Kerajaan, katanya, akan terus mengekalkan kuota satu peratus atau kira-kira 10,000 kekosongan di jabatan-jabatan kerajaan untuk diisi golongan OKU.

"Kita akan beri keutamaan kepada mereka kerana mereka jarang diberikan peluang dan kita akan berikan jawatan yang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan mereka," katanya.

Sementara itu, Bajet 2009 yang akan dibentangkan Jumaat ini turut mendapat perhatian MAB yang mahukan peruntukan untuk mereka dipertingkatkan.

Presiden MAB Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh berharap Bajet 2009 memperuntukan lebih kemudahan dan kebajikan kepada golongan cacat penglihatan termasuk memberi peluang kepada golongan itu mendapatkan diploma dalam bidang yang mereka ceburi.

"Saya harap di dalam bajet yang akan dibentangkan Jumaat ini permohonan ini akan dilaksanakan kerana ketika ini orang-orang cacat penglihatan cuma dapat kemahiran pada peringkat sijil," katanya.

MAB juga berharap kelayakan kemudahan elaun untuk pekerja cacat penglihatan dinaikkan kepada mereka yang bergaji RM1,500.

"Pada masa ini, hanya mereka yang bergaji RM1,200 ke bawah diberi elaun RM300, kita harap kelayakan gaji ini dinaikkan kepada mereka yang berpendapatan RM1,500 sebulan," katanya.

Sumber: BERNAMA

*** CORETAN PENULIS HARAPAN WARGA PEKAK MALAYSIA ***

Rakyat Pekak Malaysia ingin tahu siapa 83 orang Jurubahasa Isyarat yang akan dilantik oleh Kerajaan? Latihan Mereka diawasi oleh Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia, bukan?

Rakyat Pekak Malaysia ingin tahu siapa Panel Pernilaian Jurubahasa Isyarat Malaysia? Siapa Pengerusi Panel Pernilaian JBI yang menurunkan tandatangannya ke atas Diploma JBI?

Rakyat Pekak Malaysia ingin tahu Mengapa Pengarah Pusat Latihan MySL meletak jawatan? Gosip:- Beliau tidak puas hati dengan Pegawai MFD?