KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pendidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan tidak wajar dipandang ringan dalam usaha membangunkan negara, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata pendapat kononnya hanya pendidikan sains dan teknologi perlu dimajukan di universiti adalah tidak tepat kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan negara dalam jangka panjang.
Kata beliau hanya melalui ilmu dalam bidang sains sosial dan kemasyarakatan sahajalah sesebuah negara, komuniti dan budaya, mampu membentuk jati diri dalam menghadapi era globalisasi dan mengukuhkan budaya serta identiti nasional.
"Begitu juga, dasar negara, termasuk dasar tentang sains dan teknologi, tidak mungkin dapat digubal oleh saintis, ahli teknologi dan teknokrat semat-mata, tanpa bantuan ilmu dan kemahiran analitikal mereka yang terlatih dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan," kata Khaled semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Penambahbaikan Institusi Pengajian Tinggi: Memperkasakan Generasi Masa Depan di sini, Rabu.
Persidangan dua hari itu adalah anjuran Universiti Malaya dan Institut Dasar Awam dan Pengurusan Antarabangsa, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Pembangunan Islam (IDB).
Khaled berkata walaupun pelajar jurusan sastera dan kemanusiaan dikatakan kurang laku di pasaran pekerjaan dan oleh itu mereka perlu mengikuti kursus berorientasikan pasaran, langkah sebaliknya juga perlu dilaksanakan.
"Apa yang saya maksudkan ialah pelajar yang hanya mengikuti kursus vokasional dan profesional juga perlu didedahkan kepada pendidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk berkomunikasi, memupuk pandangan yang lebih luas dan seimbang terhadap kehidupan serta mampu menjadi warganegara yang baik," katanya.
Oleh itu, kata Khaled, pendidikan dalam bidang sains dan teknologi serta sains sosial dan kemanusiaan perlu diberi keutamaan secara sama rata kerana masing-masing mempunyai peranan dalam proses pembangunan negara.
Mengenai kemajuan pendidikan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), beliau berkata mereka ketinggalan daripada segi pelaburan dalam bidang sains dan teknologi, yang amat penting bagi mana-mana negara yang ingin mengekalkan daya saingnya di pasaran ekonomi global.
Secara purata, negara anggota OIC hanya menggunakan 0.38 peratus daripada perbelanjaan masing-masing bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu 16 peratus daripada purata perbelanjaan negara di seluruh dunia dalam membina kemampuan dalam R&D.
Khaled berkata secara purata, negara anggota OIC hanya mempunyai 525 penyelidik bagi setiap sejuta penduduk.
"Ini jauh berbeza dengan Amerika, yang mempunyai 4,605 penyelidik bagi setiap sejuta penduduknya. Kita (negara anggota) juga ketinggalan di belakang China, yang mempunyai 708 penyelidik dan juruteknik bagi setiap sejuta penduduknya," kata beliau.
Khaled berkata dari 1997 hingga 2005, paten yang difailkan oleh keseluruhan negara anggota OIC hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah paten yang difailkan dari seluruh dunia dan ini menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya negara anggota OIC meningkatkan kemampuan dan pembangunan masing-masing untuk terus memiliki daya saing di peringkat global.
-- BERNAMA