Rabu, 20 Mei 2009

Ketua Menteri Penang serahkan bendera Penang kepada Ketua Kontinjen Penang SOPMA 2009



PDA hantar 35 atlit ke Sopma oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

PULAU Pinang menghantar 35 peserta dari Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) bagi bersaing dalam acara Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) kali ke-16 yang bakal diadakan akhir bulan ini.

Acara peringkat kebangsaan yang bakal diadakan dari 25 hingga 30 Mei ini di Kuala Terengganu, Terengganu adalah acara tahunan bagi golongan istimewa berkenaan.

Presiden PDA, Cheng Kian Cheng, berkata kontinjen berkenaan bakal bersaing dengan pasukan dari 13 negeri lain dalam tiga acara iaitu badminton, bola sepak dan bowling.

Beliau berkata, persatuan itu mensasarkan kontinjen berkenaan akan berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat emas dalam acara yang dipertandingkan.

“Kontinjen ini akan bersaing pada peringkat kebangsaan sebagai saringan ke peringkat antarabangsa Taipei September ini,” katanya pada sidang media di majlis penyerahan bendera oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada kontinjen Pulau Pinang, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh.

Pasukan Pulau Pinang menduduki tempat kedua pada Sopma tahun lalu.

Kian Cheng berkata, kontinjen itu mempunyai kelebihan berikutan ia disertai Thomas Teh, 42, iaitu pemenang pingat emas bagi acara badminton perseorangan dan beregu yang diadakan di Sukan Olimpik Orang Pekak di Mannheim, Jerman, tahun lalu.

Sementara itu, Boon Poh berkata, pihaknya akan menganjurkan kursus bahasa isyarat secara tahunan bagi melatih kakitangan kerajaan negeri seterusnya memudahkan mereka berkomunikasi dengan golongan istimewa.

Sumber : myMetro 22 Mei 2009 dan
Kwong Wah e-Newspaper 19 May 2009 / Terjemah dari Cina ke Inggeris

Maklumat : Facebook.com - SOPMA