Selasa, 13 Oktober 2009

Keluarga lelaki pekak, lumpuh rayu bantuan

Abdul Razak Ahmad yang dijaga ibunya, Che Intan Abdul Gani (kanan) hanya mengharapkan simpati daripada orang ramai bagi perbelanjaan harian. - UTUSAN/ismail kamadin

ALOR SETAR 7 Okt. - Seorang wanita dari Kampung Ulu, Kuala Kedah di sini merayu simpati orang ramai untuk membantu keluarganya menampung kos perbelanjaan mengurus penjagaan adiknya yang terlantar sakit sejak tiga bulan lalu.

Zabariah Ahmad, 47, berkata, keluarganya memerlukan kira-kira RM500 sebulan bagi membeli keperluan penjagaan adiknya itu, Abdul Razak Ahmad, 37, terutama bagi menguruskan perbelanjaan membeli roti, susu dan lampin pakai buang.

Abdul Razak yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana pekak, hampir lumpuh anggota badan selepas terjatuh ketika bekerja di Sungai Petani, dekat sini pada 8 Jun lalu.

Sejak itu, mangsa yang masih bujang terlantar di atas katil dengan memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak.

Menurut Zabariah, adiknya itu yang berkerja sebagai pengimpal besi sebelum ini menjadi sandaran untuk menyara ibu mereka, Che Intan Abd. Ghani, 65, yang tinggal bersama dua lagi ahli keluarganya di kampung berkenaan.

Kedua-dua ahli keluarga mereka itu yang masing-masing berusia 48 tahun dan 28 tahun juga pekak dan hanya berupaya berkerja sebagai nelayan dengan pendapatan yang tidak menentu.

Katanya, keadaan yang menimpa Abdul Razak memeritkan ahli keluarga mereka memandangkan kos untuk menampung perbelanjaan mengurus penjagaannya selain keperluan harian meningkat mendadak.

"Kami adik beradik yang lain hanya mampu membantu sekadar yang termampu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zabariah yang telah berkeluarga dan menetap di Taman wira Mergong, di sini memberitahu, mereka buntu untuk mencari sumber kewangan yang mencukupi bagi menguruskan penjagaan Abdul Razak.

Sementara itu, wakil Persatuan Orang Pekak Malaysia, Suriati Mohd. Syukur yang melawat keluarga Abdul Razak berharap mana-mana pihak yang bersimpati agar sedia menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Katanya, keprihatinan orang ramai mampu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Abdul Razak.

Mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga tersebut boleh berkunjung ke rumah mereka di alamat 115 Lorong 8, Kampung Ulu, Kuala Kedah.

Orang ramai juga boleh menghubung talian 017-5944606 atau 04-7312934 atau menghulurkan sumbangan wang tunai menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0210029000339571.

Sumber: Utusan Malaysia Online 8 Oktober 2009

*************************************************
Penulis baru-baru ini difahamkan oleh kawan baik penulis dari Sg Buloh di apartment terbuka kawan lama baik penulis, Bukit Beruntung Sabtu lalu.