Rabu, 21 Oktober 2009

Gadis pura-pura bisu

SEORANG gadis berpura-pura bisu 'menipu' pelanggan dengan menjual barang pada harga antara RM10 hingga RM12 setiap unit.

Helah peniaga melariskan produk buatan China di Miri

MIRI: Guna gadis muda, tetapi pura-pura bisu.

Helah inilah yang digunakan peniaga untuk melariskan produk buatan China di sekitar bandar raya Miri, utara Sarawak, untuk menarik simpati orang ramai.

Gadis muda itu diarah mencari pelanggan di setiap premis makanan di sekitar bandar raya dengan membawa tanda harga barang antara RM10 dan RM12 setiap unit.

Barang dijual antaranya anak patung, pen, laser dan pelbagai hasil kraf tangan buatan luar negara yang sebenarnya boleh didapati dengan harga lebih murah di premis perniagaan sedia ada di bandar raya Miri.

Bagi pembeli faktor harga bukannya menjadi masalah kerana rasa ‘simpati’ mendorong mereka membeli produk dijual ‘gadis bisu’ itu walaupun mereka sedar barang dibeli bukan keperluan.

Tanpa disedari, naluri belas kasihan pembeli itu sebenarnya menggalakkan lagi eksploitasi lebih ramai gadis muda dari kawasan luar bandar untuk mencari pekerjaan di bandar atau gadis warga asing ke negeri ini tanpa menyedari dipaksa menjadi penjual jalanan.

Tinjauan Berita Harian mendapati antara kawasan sering menjadi tumpuan mereka di tengah pusat bandar raya seperti di kawasan tebingan Sungai Miri dan gerai makanan berhampiran kawasan hotel yang menjadi tumpuan ramai.

Gadis dipercayai berusia belasan tahun itu memulakan perniagaan produk dibawa menggunakan beg galas kecil tanpa segan mendekati pelanggan yang menjamu selera gerai makanan.

Sejurus menghampiri pelanggan, mereka segera berinteraksi menggunakan isyarat tangan sambil menunjukkan harga barang dijual.

Selain tanda harga yang dijual turut tertera pada tanda harga barang yang dibawa gadis itu ialah perkataan handcraf products of deaf .

Sedangkan barang mereka jual, seperti mainan laser secara jelas bukan hasil kraf tangan golongan kurang bernasib baik itu.

Seorang daripada gadis tempatan Fiza, 16, yang pernah menjadi penjual jalanan itu mendedahkan mereka tidak dibenarkan bercakap atau berinteraksi terlalu lama dengan pelanggan, untuk mengelak rahsia terbongkar.

“Sebenarnya, saya tidak bisu… tapi tidak dibenarkan bercakap kerana ia satu cara untuk menarik simpati pembeli. Kami hanya diminta berurusan menggunakan bahasa isyarat. Kami hanya perlu tunjukkan tanda harga, pembeli akan faham. Adalah perlu bagi kami pura-pura bisu supaya dapat meyakinkan pelanggan membeli barang yang dibekalkan ejen kami.

“Semua hasil jualan akan diberikan kepada ejen kami dan kami akan diberi sedikit keuntungan berdasarkan jualan pada hari berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau yang mengakui terdesak mendapatkan pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian ketika itu berkata, sekarang bukan saja gadis tempatan menjadi penjual barang berkenaan, malah gadis asing semakin ramai.

“Kerja ini mudah, asalkan tidak malu untuk berjumpa pelanggan. Kita tak perlu cakap. Bagi gadis asing ia agak mudah kerana ramai mereka tidak fasih dialek tempatan.

“Tunjukkan tanda harga… orang akan faham sama ada ingin membelinya atau tidak,” katanya dan menambah daripada 20 pelanggan seorang daripada mereka pasti membeli produk yang dijual.

Katanya, penginapan dan kos makanan seharian mereka turut dibiayai ejen yang membekalkan produk yang dijual.

“Biasanya, kami duduk di hotel berdekatan pusat bandar bagi memudahkan mencari pelanggan. Setiap bilik hotel dikongsi beberapa orang. Kos penginapan dibayar ejen dan kemudian kos berkenaan ditolak daripada harga barang dijual pada hari berkenaan,” katanya.

Sementara itu seorang pemilik premis makanan di Tebingan Miri, Rosmah Suhib, 48, berkata, setiap hari beberapa gadis muda pura-pura bisu datang menjual pelbagai barang kepada pelanggan di situ.

“Dulu hanya beberapa gadis yang sering kelihatan melakukan kerja berkenaan terutama pada sebelah malam antara jam 9 pagi hingga 12 malam. Sekarang jumlah mereka semakin ramai, tetapi ramai antara mereka ialah muka baru,” katanya.

Beliau berkata, agak ramai juga pelanggan membeli barang dijual gadis bisu itu.

“Sekarang bukan saja gadis bisu yang jual barang secara terus kepada pelanggan sedang menjamu, malah semakin ramai wanita asing menjalankan aktiviti sama termasuk menjual cakera padat cetak rompak,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online oleh Kandau Sidi [kandausidi@bharian.com.my]

-------------------------------@@@@-------------------------------

Penulis berterima kasih kepada Spance Soo & Idayu Sofni atas makluman ini.

Rakyat Warga Pekak Malaysia really marah sebab NGO Pekak Negeri-Negeri tidak pernah mengambil tindakan...

NGO Pekak Negeri-Negeri harus menjaga kepentingan Warga Pekak setiap negeri.