Ahad, 2 November 2008

AirAsia Sedia Kemudahan Untuk Penumpang Kurang Upaya

SEPANG, 12 April (Bernama) -- AirAsia Bhd menyediakan kemudahan ambulif di terminal lapangan terbang tambang murah (LCTT) di sini dan sebuah lagi di Kota Kinabalu untuk kemudahan penumpang kurang upaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tony Fernandes hari ini berkata kemudahan berkenaan akan menyediakan keselesaan untuk penumpang kurang upaya syarikat penerbangan itu.

Penumpang kurang upaya sebelum ini dibawa masuk ke pesawat oleh kakitangan AirAsia, kata Fernandes kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan itu di LCCT di sini.

Beliau berkata pemasangan kemudahan itu di kedua-dua lapangan terbang berkenaan menelan belanja RM 1.3 juta, termasuk latihan untuk kakitangan.

Syarikat penerbangan itu sedang berbincang dengan Lapangan Terbang Kuching bagi menempatkan ambulif di sana.

Ia juga sedang mengkaji menempatkan kemudahan yang sama di lapangan terbang lain seperti Pulau Pinang, Jakarta dan Bangkok.

Hanya empat penumpang kurang upaya sahaja yang dibenarkan menaiki satu-satu penerbangan.

AirAsia, kata Fernandes sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd bagi menyediakan laluan bebas untuk kegunaan penumpang kurang upaya di lapangan terbang yang tidak mempunyai kemudahan ambulif.

-- BERNAMA

-- JINGGO'S FOTOPAGE