Isnin, 31 Ogos 2009

Beregu negara rasa tersisih

KUALA LUMPUR – “Kami bukan mengharapkan hadiah wang ringgit semata-mata, namun cukuplah sekadar sokongan atau layanan yang sama rata seperti mana yang diberikan kepada atlet-atlet normal yang lain," itulah antara keluhan atlet-atlet orang pekak negara yang rasa tersisih daripada pandangan pihak tertentu.

Thomas Teh Cheang Hock dan Yeo Kok Fang antara atlet negara yang berjaya mencipta nama di peringkat dunia dalam sukan badminton, namun mungkin tidak semua mengenali nama mereka.

Paling menarik, pasangan beregu badminton kategori orang pekak ini merupakan pemenang pingat emas pada Kejohanan Dunia Badminton Orang Pekak yang berlangsung di Jerman pada tahun 2007.

Menurut jurulatih negara, Mohamed Iqbal Yusoff, kejayaan mereka meraih emas di Jerman dulu seolah-olah tidak dihargai dan lebih sedih lagi, mereka tidak dilayan sewajarnya seperti mana dengan atlet-atlet lain yang berjaya meraih pingat.

“Mereka begitu teruja kerana berjaya meraih :emas buat negara, lebih penting lagi nama Malaysia berada di ranking pertama dunia.

“Mereka terbayangkan sambutan di lapangan terbang apabila kembali dari kejohanan itu, namun hampa kerana tidak ada sambutan terhadap mereka,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Iqbal berkata, mereka bukanlah mengharapkan sebarang habuan, namun mereka inginkan layanan seperti dengan a:tlet lain kerana bagi Cheang Hock dan Kok Fang misi menjulang bendera negara di mata dunia lebih penting daripada segala-galanya.

Katanya, biarpun begitu kenangan sedih 2007 itu tidak menjadi alasan untuk mereka menggantung raket, malah mereka lebih bersemangat menjalani persiapan bagi menghadapi Kejohanan Olimpik Orang Pekak di Taiwan pada 5 September ini.

“Persiapan kali ini hanya mengambil masa dua minggu sahaja memandangkan baru menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di saat akhir.

“Bagi pihak Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, saya gembira kerana mendapat bantuan sepenuhnya daripada kementerian,” katanya yang telah lebih sepuluh tahun menjadi jurulatih pasangan negara ini.

Iqbal berkata, pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga ada juga memberi sokongan kepada pasukan ini terut:ama dari segi latihan.

Ketika diajukan soalan bantuan daripada pihak lain, Iqbal berkata, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) gagal memberi sebarang peruntukan kepada atlet orang pekak ini.

“Saya ada berjumpa dengan Pengarah Cawangan Paralimpik (Mohd Safrushahar) mengenai ini, dan beliau ada meminta surat pengesahan atau surat terperinci mengenai latihan dan sebagainya, namun mungkin ada masalah komunikasi antara pihak persatuan dan MSN, jadi perkara ini tidak dapat diselesaikan sebelum ke Taiwan," katanya.

Disebabkan masalah demikian, Iqbal berkata, pada Kejohanan Olimpik kali ini pihaknya hanya mampu menghantar dua orang atlet badminton sahaja.

"Sepatutnya pasukan boling turut ke Taiwan, namun kekurangan sumber kewangan mereka terpaksa tarik diri,” katanya.

Iqbal berkata, sasaran di Olimpik kali ini pastinya untuk meraih pingat tanpa mengira warna memandangkan beregu negara pastinya berdepan dengan saingan sengit daripada negara yang bertanding termasuk Denmark, England, Korea dan Jepun.

Sebelum itu, Iqbal berharap agar pihak berkenaan buka mata dan melihat kejayaan-kejayaan yang dijulang oleh atlet-atlet orang pekak ini.

“Saya yakin atlet-atlet ini akan lebih berjaya sekiranya nasib mereka terbela,” katanya.

Sumber:- Sinar Harian