Khamis, 18 September 2008

KBS Rancang Wujud Pusat Kecemerlangan Atlet Paralimpik

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju mewujudkan sebuah pusat kecemerlangan untuk atlet orang kurang upaya (OKU) termasuk atlet paralimpik negara supaya mereka boleh menjalani latihan berpusat.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata bagi merealisasikan matlamat itu pihaknya memutuskan Kompleks Sukan Kampung Pandan di Cheras dinaiktaraf.

"Proses penambahbaikan mungkin akan mengambil masa dan KBS telah mengenal pasti konsultan untuk menilai jumlah perbelanjaan yang diperlukan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari Rabu.

Ismail Sabri berkata sebelum ini atlet paralimpik menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) yang mungkin membawa masalah pertindihan masa dan jadual dengan atlet-atlet elit yang lain.

"Jadi apabila siap kelak mereka boleh menggunakan sepenuhnya untuk menjalani latihan lebih awal bagi memastikan atlet paralimpik mendapat hasil yang lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian atlet paralimpik di Beijing, Ismail berkata mereka telah mempamerkan persembahan membanggakan dengan membawa pulang satu pingat gangsa.

"Itu pun mereka hanya menjalani latihan pusat di MSN selama enam bulan sahaja," katanya.

Pada temasya yang bermula pada 7 Sept lepas, atlet powerlifting negara Siow Lee Chan meraih pingat gangsa dalam acara bawah 56kg wanita dengan membuat angkatan berjumlah 95kg.

Seramai 11 atlet layak beraksi di dalam lima jenis sukan iaitu olahraga, memanah, perahu layar, renang dan powerlifting pada edisi ke-13 itu.

-- BERNAMA