Khamis, 26 Februari 2009

Pusat Kecemerlangan Sukan OKU Akan Dibina Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan akan membina sebuah pusat kecemerlangan sukan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) bernilai RM39 juta di Kampung Pandan di sini pertengahan tahun ini.

Timbalan Menterinya Wee Jeck Seng berkata pusat latihan berprestasi tinggi itu bagi membolehkan atlet OKU membuat persediaan rapi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

Wee berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) yang ingin tahu sama ada kementerian itu membuat perancangan untuk membina Pusat Latihan Sukan bagi OKU pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya kementerian itu bersama pihak perunding turut mendapatkan input daripada Majlis Paralimpik Malaysia dalam menyediakan cadangan rekabentuk pusat di tapak seluas 1.84 hektar itu bagi memenuhi kehendak atlet OKU.

Pembinaan pusat itu akan mengandungi blok pentadbiran, blok asrama bagi 300 orang, gelanggang berbumbung yang menempatkan kolam renang serta gelanggang sukan, lapangan memanah dan kemudahan infrastruktur yang lain, katanya.

-- BERNAMA