Jumaat, 22 Mei 2009

Institut Pendidikan Guru Sukan Ditubuh : Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan mewujudkan Institut Pendidikan Guru Sukan khusus untuk melatih jurulatih sukan serta pegawai teknik daripada kalangan guru, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata penubuhan IPG Sukan itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.

"Dengan adanya jurulatih dan pegawai teknik sukan sekolah, kerajaan berharap agar tahap kecekapan pengurusan sukan sekolah akan dapat dipertingkatkan.

"Di samping itu, ia akan mengurangkan bebanan guru yang sebelum ini terpaksa memberikan tumpuan kepada bidang akademik dan juga sukan," katanya ketika merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata kementerian belum menetapkan syarat kelayakan untuk memasuki IPG Sukan itu.

"Ia akan ditetapkan nanti. Saya tidak dapat memberitahu secara terperinci.

Yang penting ialah siapa yang layak untuk ambil kursus dan sekali gus menambah bilangan guru yang terlatih dalam bidang sukan," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran juga akan mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah di peringkat kementerian untuk merancang, memantau dan mempergiatkan aktiviti sukan sekolah.

Katanya menerusi jawatankuasa itu khidmat nasihat pakar, jurulatih dan pegawai teknikal profesional akan digunakan untuk membantu kementerian merangka dan melaksana program dengan lebih efektif.

Beliau berkata bahawa secara langsung kementerian akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan untuk menjalankan program.

"Secara langsung persatuan-persatuan sukan kebangsaan akan terlibat kerana dalam jawatankuasa yang kita akan tubuhkan itu akan turut melibatkan mereka. Ini kerana dalam kita (Kementerian Pelajaran) hendak menjalankan program-program tertentu kita akan melibatkan mereka," katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis perasmian Kejohanan Olahraga MSSM, Muhyiddin berkata kejohanan seumpama itu menyediakan ruang yang cukup luas untuk pihak Kementerian mengenal pasti atlet pelajar yang berpotensi dalam bidang olahraga.

"Atlet-atlet ini akan dilatih secara intensif bagi menghadapi kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean yang akan berlangsung di Bangkok pada Julai depan," katanya.

Menurut beliau Kejohanan Olahraga Sekolah wajar dijadikan acara kemuncak aktiviti sukan sekolah di mana seluruh pelajar akan berpeluang mengambil bahagian.

"Kemudahan sukan di sekolah-sekolah juga akan dipertingkatkan untuk memastikan program sukan dapat dilaksanakan dengan lancar dan untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM344 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk menambah baik prasarana sekolah," katanya.

Katanya daripada jumlah itu, RM16.4 juta diperuntukkan untuk menaik taraf Sekolah Sukan Malaysia, membina dua buah sekolah sukan negeri di Sabah dan Pahang (RM200 juta), perolehan peralatan sukan sekolah (RM18 juta) dan menaik taraf prasarana sukan sekolah (RM100 juta).

Menurut beliau, projek-projek pembangunan sukan itu kini sedang giat dijalankan dan akan dilaksanakan sepenuhnya pada akhir RMK9.

-- BERNAMA