Selasa, 12 Mei 2009

Pangsapuri kecil 24 bilik


Kekurangan kawasan tanah di Hong Kong menyebabkan Chang, seorang arkitek mencari jalan menangani kesempitan ruang kediaman seluas 32 meter persegi menjadi 24 bilik. Bagaimana beliau melakukannya?


GARY CHANG bukan tidak ada hati untuk membela seekor kucing di pangsapuri kecil yang dihuninya, tetapi dengan keluasan ruang 32 meter persegi, dia tidak mempunyai ruang untuk memelihara haiwan tersebut.

Bagaimanapun, arkitek dari Hong Kong itu berjaya menempatkan sebanyak 24 buah bilik termasuk sebuah bilik wap dan pawagam di dalam sebuah rumah yang disamakan dengan pisau serba boleh dari Switzerland.

Chang, 46, menukar pangsapuri kecil yang didiaminya sejak berusia 14 tahun yang dipanggil sebagai 'perubahan domestik'. Visi yang dibawa itu dilihat sebagai salah satu langkah memaksimumkan ruangan kecil di salah sebuah bandar terpadat di dunia. "Kunci utama yang harus diketengahkan oleh semua pihak ialah menilai semula ruang di rumah dan cara-cara mengoptimumkan sumber tersebut. Ini kerana ruang adalah satu sumber," jelasnya.

"Tidak ada gunanya kita menukar rumah kepada sebuah laman pameran tetapi tidak pernah menggunakan ruang tersebut."

Chang telah menangani masalah kesempitan ruang dalam bilik dengan menggantikan dinding kepada siri unit papan gelongsor. Ia digantung dari atas dinding dan boleh digerakkan mengikut kesesuaian dan keperluan. Unit pembahagi ini juga menyembunyikan laci menyimpan pakaian, rak menyimpan barangan penjagaan badan dan ribuan cakera padat serta cakera video digital.

Chang, kemudian menarik sebuah hendal yang terletak berdekatan televisyen yang dipasang pada dinding. Secara tiba-tiba, dinding itu bergerak dari lantai berbatu ubin ke bahagian tengah bilik. Di situ, dia membuka sebuah meja untuk bekerja dan sebuah bar mini di hadapan ruang dapur.

Pangsapuri ini boleh dibina mengikut konsep rumah studio yang terbuka atau dengan sedikit kreativiti, dijadikan sebuah arena yang tertutup sehingga dibuka berulang kali bagi mendedahkan bahagian katil kerusi dan sebagainya. Konsep itu sebenarnya lahir daripada keperluan yang wujud sejak kecil dengan enam orang anggota keluarganya yang lain.

"Saya mempunyai tiga orang adik bongsu dan kami semua tinggal di sini. Mula-mula ada tiga buah bilik tidur, sebuah ruang tamu dan sebuah ruang tempat makan," ujarnya yang terpaksa mencari jalan mudah dan lebih fleksibel. "Adik-adik perempuan saya menggunakan satu bilik, ibu bapa saya satu dan yang terakhir bukannya untuk diri saya tetapi seorang penyewa lain supaya dapat mencari pendapatan tambahan buat keluarga."

"Oleh itu, saya terpaksa tidur di ruang tamu," katanya yang masih tinggal di pangsapuri tersebut dan menghabiskan zaman mudanya untuk mengubahsuai pangsapuri setinggi 19 tingkat di sebuah wilayah yang cukup sibuk di Hong Kong, Sai Wan Ho.

Arkitek itu yakin bahawa inovasi yang dipraktikkannya itu mampu memberi manfaat kepada keluarga miskin dalam menyusun barangan di rumah, selain menyuntik inspirasi di kalangan syarikat pembangunan perumahan baru menerusi buku penulisannya berjudul My 32m2 Apartment: A 30-Year Transformation.

Di Hong Kong secara amnya, kekurangan kawasan tanah menimbulkan masalah besar kepada populasi penduduk yang berjumlah tujuh juta orang. Kesannya, harga rumah sewa naik secara mendadak dan ia berlaku sebelum krisis ekonomi.

Purata harga sebuah kawasan seluas satu meter persegi meningkat sebanyak dua kali ganda dari 32,777 dolar (RM14,932) di Hong Kong pada tahun 2002 kepada 58,915 dolar (RM26,840) dalam tempoh lima tahun kemudian.

Bagaimanapun, Chang percaya bahawa kepadatan kawasan rumah secara tidak langsung membantu mengurangkan kes jenayah. "Dalam kebanyakan masa, sesebuah kawasan menjadi kurang bahaya kerana ia sentiasa sibuk dengan kehadiran manusia selama 24 jam sehari. Ia seolah-olah kita memerhatikan keselamatan masing-masing secara efisien."

Pengoptimuman ruang di dalam rumah juga memberi kelebihan kepada Chang untuk menikmati pengalaman mewah mandi dalam sebuah bilik mandi berdinding kaca termasuk bilik wap, tab mandi sebesar 1.9 meter dan sebuah dapur kecil. Turut disediakan ialah skrin pawagam bersaiz dinding dan sebuah tingkap memanjang yang disadur dengan lapisan plastik berwarna kuning untuk pencahayaan yang romantis.

Eksperimen Chang bermula sebaik beliau tamat belajar di Universiti Hong Kong apabila beliau mendalami bidang seni bina. "Semasa saya menamatkan pengajian, kedua-dua ibu bapa saya berpindah ke sebuah rumah yang lebih selesa dan ibu menggalakkan saya supaya membeli rumah ini." - AFP

Sumber: Kosmo! Online & The New York Times

Mari tengok latarbelakang Ar. Gary Chang seorang Arkitek Terkenal di Hong Kong

Bagi Penulis, Lim Anuar bakal menjadi "Gary Chang Malaysia" apabila beliau akan menamatkan ijazah Seni Arkitek di Universiti LUCT, cyberjaya. Beliau merupakan seorang Pengarah Kreatif bertugas di Pusat Inovasi Reka Malaysia dan juga berkhidmat secara sukarelawan sebagai Setiausaha Agung MSFD & Timbalan Presiden I KLSD.